Melayu - Usman Awang
Melayu itu orang yang bijaksana 
Nakalnya bersulam jenaka 
Budi bahasanya tidak terkira 
Kurang ajarnya tetap santun 
Jika menipu pun masih bersopan 
Bila mengampu bijak beralas tangan 
Melayu itu berani jika bersalah 
Kecut takut kerana benar 
Janji simpan di perut 
Selalu pecah di mulut 
Biar mati adat 
Jangan mati anak 
Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya: 
Jawa itu Melayu, 
Bugis itu Melayu 
Banjar juga disebut Melayu, 
Minangkabau memang Melayu, 
Keturunan Acheh adalah Melayu, 
Jakun dan Sakai asli Melayu, 
Arab dan Pakistani, semua Melayu Mamak 
dan Malbari serap ke Melayu 
Malah mua'alaf bertakrif Melayu (setelah disunat anunya itu) 
Dalam sejarahnya 
Melayu itu pengembara lautan 
Melorongkan jalur sejarah zaman 
Begitu luas daerah sempadan 
Sayangnya kini segala kehilangan 
Melayu itu kaya falsafahnya 
Kias kata bidal pusaka 
Akar budi bersulamkan daya 
Gedung akal laut bicara 
Malangnya Melayu itu kuat bersorak 
Terlalu ghairah pesta temasya 
Sedangkan kampung telah tergadai 
Sawah sejalur tinggal sejengkal 
Tanah sebidang mudah terjual 
Meski telah memiliki telaga 
Tangan masih memegang tali 
Sedang orang mencapai timba 
Berbuahlah pisang tiga kali 
Melayu itu masih bermimpi 
Walaupun sudah mengenal universiti 
Masih berdagang di rumah sendiri 
Berkelahi cara Melayu 
Menikam dengan pantun 
Menyanggah dengan senyum 
Marahnya dengan diam 
Merendah bukan menyembah 
Meninggi bukan melonjak 
Watak Melayu menolak permusuhan 
Setia dan sabar tiada sempadan 
Tapi jika marah tak nampak telinga 
Musuh dicari ke lubang cacing 
Tak dapat tanduk telinga dijinjing 
Maruah dan agama dihina jangan 
Hebat amuknya tak kenal lawan 
Berdamai cara Melayu indah sekali 
Silaturrahim hati yang murni 
Maaf diungkap senantiasa bersahut 
Tangan diulur sentiasa bersambut 
Luka pun tidak lagi berparut 
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan 
Selaga yang ada sanggup diberikan 
Sehingga tercipta sebuah kiasan: 
"Dagang lalu nasi ditanakkan 
Suami pulang lapar tak makan 
Kera di hutan disusu-susukan 
Anak di pangkuan mati kebuluran
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu 
Masihkan tunduk tersipu-sipu 
Jangan takut melanggar pantang 
Jika pantang menghalang kemajuan; 
Jangan segan menentang larangan 
Jika yakin kepada kebenaran; 
Jangan malu mengucapkan keyakinan 
Jika percaya kepada keadilan 
Jadilah bangsa yang bijaksana 
Memegang tali memegang timba 
Memiliki ekonomi mencipta budaya 
Menjadi tuan di negara Merdeka
Hello world!
3 years ago
 

 
4 comments:
tuh dari sudut pandangan Usman Awang. pendapat ko tentang Melayu?
apa maknanya kalau org kata ko "U ni tak cukup Melayu lah".
Melayu nak berjaya di mata dunia. duduk sama rendah. berdiri sama tinggi.
dan berlumba-lumbalah Melayu hendak menjadi seperti orang-orang yang berjaya (orang putih? orang jepun?)
dan kau akan lihat Melayu yang buang anak, bertebuk lidah dan pusat, yang duduk serumah tanpa apa-apa ikatan, yang rambutnya tercacak seluarnya sinting, yang lebih orang putih dari orang putih dan entah apa-apa lagi.
ya, semuanya mau ikut barat yang kononnya maju. ya memang maju pun. cuma sayang, Melayu cuma ikut kemajuan yang menjahanamkan Melayu sendiri. bukannya mengikut kemajuan yang boleh memajukan Melayu.
aku tak cakap semua. tapi kebanyakannya. mungkin aku pun sama. aku letak sajak tu untuk ingatkan diri aku sendiri sebenarnya.
Susah nak jawab sajak ni, kalau pak usman masih ada, boleh juga tanya dia.
Kini Melayu itu telah banyak berubah. Terutama yang tinggal di kawasan bandar, manakala yang dikampung pula wujud masalah lain yang menghakis nilai melayu asli itu. Orang tua-tua dah banyak tak ada, tinggal tua yang tak berkualiti lagi. Dan yang muda pulak, asyik dengan hal yang melekakan seperti hiburan dan sukan yang tak menguntungkan.
Pada aku, melayu itu banyak dirosakkan oleh pemimpin kita sendiri. Pemimpin kini telah banyak jasa menekuni kemusnahan ini. Asyik bertekak betul dan
salah, hinggakan apa yang patut buat sebenarnya tak terbuat.
Melayu kini, lebih kepada pemimpin itu, jika dulu hal ini terletak pada orang akademik. Kini, orang akademik tak nak lagi bercakap pasal ini kerana pemimpin yang banyak bersuara. Nasib seolah-olah ditangan mereka. Politik
melayu halus tetapi amat kotor. Rasanya politik jika tidak dikawal, akan menghancur tamadun melayu sebagaimana hancurnya tamadun melaka kerana politik kotornya.
Aku rasa, kita hanya bergantung pada agama, cukuplah.
sejak bila politik itu tidak kotor?
haha
Post a Comment