Wednesday, July 19, 2006

apa nak di kata

Tsunami: Ramai lagi mangsa disyaki tertimbus

BANDUNG 18 Julai – Pasukan penyelamat bertungkus lumus memeriksa runtuhan bangunan untuk mencari mangsa yang terselamat dalam bencana tsunami yang menyebabkan lebih 340 orang terkorban dan puluhan lagi hilang apabila ombak besar itu menghempas pantai selatan Pulau Jawa semalam.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, ramai lagi mangsa dikhuatiri tertimbus.
Dalam kejadian yang mengingatkan dunia kepada bencana Disember 2004 yang meragut 220,000 nyawa di rantau Lautan Hindi, ombak setinggi tiga meter menerjah ke pantai semalam, meranapkan bangunan dan memaksa beribu-ribu penduduk yang ketakutan melarikan diri.
Daripada 340 yang terbunuh, dua orang merupakan warga asing tetapi identiti mereka belum diketahui.
Tsunami kali ini dicetuskan oleh gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di bawah dasar laut dekat pantai selatan Pulau Jawa - yang belum dipasang sistem amaran awal. Ramai penduduk tidak menyedari tragedi yang bakal menimpa mereka meskipun pusat tsunami serantau telah mengesan kemungkinan akan wujud gelombang besar seperti tragedi 2004.
Gempa bumi berlaku berturutan dalam masa sejam bermula pukul 3.19 petang sehingga pukul 4.15 petang.
Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan, sekurang-kurangnya 337 orang terkorban dan lebih 600 lagi cedera di enam daerah di wilayah Jawa Tengah dan Jawa Barat.
Kira-kira 150 lagi masih hilang manakala 52,700 hilang tempat tinggal akibat ombak besar itu, kata ketua pusat krisis di kementerian tersebut, Rustam Pakaya.
Kebanyakan kematian berlaku di kawasan peranginan Pangandaran di daerah Ciamis, Jawa Barat, kira-kira 270 kilometer ke tenggara Jakarta, katanya.
Ketua operasi bantuan mangsa bencana di Ciamis, Agus Sutrisno berkata, lebih 1,500 pekerja terlibat dalam operasi mencari mayat dan mangsa terselamat di kawasan pantai.
”Kami mengesyaki masih ramai mangsa yang tertimbus dalam runtuhan. Kami tidak memiliki peralatan berat seperti traktor dan gergaji rantai,” katanya.
Seorang wanita Perancis yang sebelum ini dipercayai terkorban ditemui masih hidup, kata Duta Perancis di Jakarta, manakala Kementerian Luar Sweden mengesahkan seorang rakyatnya terbunuh dalam bencana itu.
Seorang lelaki Arab Saudi, Hamed Abukhamiss, 40, berkata, dia telah membawa sendiri mayat isteri dan anak lelakinya ke rumah mayat hospital.
”Saya tidak tahu macam mana saya boleh hidup, ini suatu keajaiban,” katanya dengan suara yang sebak.
Nasib dua kanak-kanak Sweden yang dilaporkan hilang masih tidak diketahui.
Dalam pada itu, kerajaan Indonesia memperuntukkan satu bilion rupiah (RM400,000) sebagai bantuan kecemasan awal.
“Bantuan kecemasan ini akan digunakan untuk tujuan bekalan makanan, tempat tinggal untuk mereka yang hilang tempat tinggal dan ubat-ubatan,” kata Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla hari ini.
Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menghantar dua tan makanan.
Pihak berkuasa Indonesia menjangkakan kesan kemusnahan sebenar belum dapat diketahui dalam masa terdekat sehingga bancian dapat dijalankan selepas kerja mencari dan menyelamat mangsa yang kini diberikan keutamaan.
Stesen televisyen dan radio tempatan melaporkan bahawa mangsa pemindahan dari malam tadi sehingga tengah hari ini beberapa kali panik dan berhamburan keluar apabila mendengar khabar yang tidak disahkan bahawa tsunami akan berlaku lagi berikutan ada yang melihat laut surut jauh ke tengah laut. [Utusan Malaysia, 19 Julai 2006]

******


Gaun persandingan Siti RM40,000 – RM50,000

KUALA LUMPUR 18 Julai – Gaun pengantin yang akan dipakai oleh penyanyi terkenal tanah air, Siti Nurhaliza, 27, pada perarakan persandingan bersama Datuk Khalid Mohamed Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K dianggarkan bernilai antara RM40,000 dan RM50,000.
Ini dinyatakan oleh perekanya, Khoon Hooi kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Katanya, beliau akan mereka sehelai gaun sutera berwarna krim yang disulami kristal untuk dipakai Siti pada hari perkahwinannya.
“Dalam masa terdekat ini, saya akan berjumpa Siti untuk menunjukkan lakaran pakaian yang telah saya siapkan.
“Untuk Datuk Khalid pula, saya akan menyiapkan tuxedo,” katanya.
Katanya, beliau menerima tawaran itu melalui panggilan telefon daripada Pengurus Siti, Rozie Abdul Razak pada Ahad lalu ketika berada di Singapura.
“Rozie tidak memberitahu lebih mendalam tentang perkahwinan Siti. Dia menyuruh saya mereka pakaian pengantin yang sesuai ketika diarak menaiki kereta kuda,” jelasnya.
Seorang lagi pereka pakaian pengantin untuk Siti, Natrah Hisham dari Butik Embun ketika dihubungi memberitahu beliau akan bertanggungjawab mereka pakaian Siti dan Datuk K yang bertemakan konsep tradisional.
Namun Natrah belum dapat memastikan berapa helai pakaian yang akan direka dan warnanya kerana semuanya masih lagi dalam peringkat perbincangan.
“Saya baru berbincang dengan Datuk K dan Siti hari ini dan dalam masa terdekat keputusan akhir akan dibuat.
“Apa yang saya tahu, saya akan mereka kebaya moden daripada kain lace yang berlabuci. Saya juga diminta menghasilkan pakaian untuk ahli keluarga kedua-dua pasangan itu,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah kos keseluruhan pakaian itu.
Menurut Natrah, dia dimaklumkan tentang tawaran Siti pada Ahad lalu.
Pereka fesyen kegemaran Siti Nurhaliza, Michael Ong pula mengakui, beliau diberi tanggungjawab oleh pihak Siti untuk mereka gaun pengantin bagi acara memotong kek.
“Mereka minta saya buat dua helai gaun untuk acara memotong kek. Setiap sehelai berwarna putih dan merah jambu dibuat daripada sutera. Tiap-tiap sehelai gaun itu berharga RM35,000.
“Bagaimanapun, saya memberikannya secara percuma kepada Siti sebagai hadiah perkahwinan.” jelas Michael yang telah menjadi pereka pakaian Siti sejak sembilan tahun lalu.
Kelmarin, Siti Nurhaliza dan Datuk K, 47, mengumumkan tarikh pernikahan mereka pada 21 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Sementara itu majlis persandingan akan diadakan pada 28 Ogos di Exhibition Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diikuti dengan acara berarak selama satu sejam pukul 5 petang.
Pada 3 September pula, majlis persandingan akan diadakan di Kuala Lipis, Pahang. [Utusan Malaysia, 19 Julai 2006]

No comments: